Kenyataan Media / Siaran Segera - 7 Mac 2018
GANGGUAN BEKALAN AIR DI BEBERAPA KAWASAN DI SELANGOR DAN KUALA LUMPUR AKIBAT HENTI TUGAS LOJI RAWATAN AIR SSP3

Cyberjaya – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ingin merujuk kepada kenyataan media yang disiarkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) berhubung lanjutan masa pemulihan bekalan bagi kerja-kerja pembaikan kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3).

Seperti yang dimaklumkan, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH), iaitu operator bagi Loji Rawatan Air Sungai Selangor 3 (LRA SSP3) telah melaksanakan henti tugas berjadual selama 10 jam (8.00 pagi hingga 6.00 petang) bagi beberapa kerja-kerja pembaikan kritikal di loji tersebut pada 6 Mac 2018.

Walau bagaimana pun, setelah kerja senggaraan siap dan loji hendak mula beroperasi pada jam 5.00 petang, berlakunya paip pecah berhampiran dengan Sistem Mampatan Udara (Surge Vessel System) di loji tersebut.

Akibat kejadian tersebut, LRA SSP3 yang berkapasiti 800 Juta Liter Sehari (JLH) terpaksa berhenti tugas dengan serta merta. Henti tugas tersebut akan melewatkan pemulihan bekalan air kepada sebanyak 498 kawasan dengan sejumlah 563,662 akaun pengguna. Antara daerah yang terlibat ialah Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Langat.

Susulan itu, SPLASH telah merujuk perkara ini ke Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan telah memulakan kerja pembaikan di tapak. Untuk itu, SPAN telah meminta SPLASH supaya melaksanakan kerja pembaikan secara berterusan sehingga siap. Hanya setelah kerja pembaikan siap dilaksanakan, LRA SSP3 boleh beroperasi dan air boleh dibekalkan secara berperingkat.

Sehubungan itu, SYABAS telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan dan membuka Bilik Gerakan untuk memantau keadaan serta menguruskan penghantaran lori tangki ke kawasan-kawasan yang terjejas.

Pada masa ini SYABAS menyediakan sebanyak 79 lori tangki air jenis biasa serta 10 lori tangki jenis Jumbo bagi tujuan penghantaran bekalan air. Selain itu, SPAN telah mendapatkan sebanyak 17 buah lori tangki air daripada Operator-operator Air di lain-lain negeri untuk membantu SYABAS.

SPAN mengharapkan kerjasama pengguna-pengguna dalam menghadapi keadaan yang tidak dijangkakan ini. Semua pihak yang terlibat sedang berusaha bersungguh-sungguh dan secara berterusan untuk menyiapkan kerja pembaikan dan memulihkan bekalan air dengan segera.

Pengguna-pengguna boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) SYABAS di talian 15300 untuk bantuan air serta melayari laman web di www.syabas.com.my dan aplikasi telefon pintar untuk mengikuti perkembangan semasa gangguan bekalan air ini.

Dato' Mohd Ridhuan bin Ismail
Ketua Pegawai Eksekutif
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)




SHARE THIS ARTICLE