Pelaksanaan projek menaik taraf Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Batu Ferringhi


Kenyataan Media / Siaran Segera
Batu Ferringhi Pelaksanaan projek menaik taraf Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Batu Ferringhi di bawah dana Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembetungan (KWSMP) adalah bertujuan untuk menampung aliran air kumbahan yang semakin meningkat ekoran pembangunan pesat, dan pada masa yang sama memastikan tiada pelepasan sisa kumbahan secara terus ke sungai dan laut sekitar kawasan berkenaan.

LRK Batu Ferringhi yang terletak di kawasan Daerah Barat Laut Pulau Pinang, merupakan kawasan yang sedang membangun pesat terutama daripada aspek pembangunan kediaman dan pelancongan. Loji yang berkeluasan 11,058 meter persegi ini, merupakan sebuah loji rawatan kumbahan berpusat yang menerima aliran kumbahan dari kawasan perumahan, pusat komersil, perhotelan dan pelancongan sekitar Batu Ferringhi.

“Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Indah Water Konsortium (IWK) amat prihatin dalam usaha meningkatkan kecekapan dalam pengurusan sisa kumbahan demi menjamin pembangunan yang mampan dan kelestarian alam sekitar,” kata Yang Berhormat Datuk Liang Teck Meng, Pengerusi SPAN dalam satu lawatan kerja ke LRK Batu Ferringhi di sini hari ini.

Turut hadir dalam lawatan kerja itu adalah Dato’ Mohd Ridhuan Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif SPAN bersama lima anggota suruhanjaya SPAN. Sesi lawatan kerja ini juga disertai oleh pengurusan tertinggi IWK, Tan Sri Abu Zahar Ujang, Pengerusi IWK dan Ir. Mohamed Haniffa Abdul Hamid, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IWK. Lawatan SPAN hari ini bertujuan untuk melihat pengoperasian loji yang telah dinaiktarafkan bagi mencapai standard kualiti efluen yang ditetapkan.

Loji rawatan kumbahan Batu Ferringhi yang dikendalikan IWK ini dibina pada tahun 1980an dengan kapasiti asal 20,000 PE (Penduduk Setara) dan telah dinaiktarafkan kepada kapasiti 30,000 PE pada tahun 2004. Walau bagaimanapun, sebelum pelaksanaan projek naik tarif ini, loji ini terpaksa beroperasi melebihi had reka bentuk iaitu aliran kumbahan yang diterima adalah sebanyak 36,500 PE, ekoran daripada aliran kumbahan yang meningkat akibat pembangunan pesat di persekitaran kawasan Batu Ferringhi.

Menurut Abu Zahar, memandangkan pembangunan di kawasan ini menjadi semakin pesat terutamanya dalam sektor pelancongan, LRK Batu Ferringhi, yang sebelum ini berkapasiti 30,000 PE dengan efluen standard B, telah dinaiktarafkan ke 60,000 PE dengan efluen kategori 1, Standard A. Loji berkenaan dijangka akan menerima jumlah air kumbahan sebanyak 59,815PE menjelang 2035.

“Perlaksanaan projek ini adalah tepat pada masanya dan selari dengan agenda kerajaan yang ingin membangunkan infrastruktur pembetungan yang sempurna, efektif, efisien dan progresif bagi memastikan infrastruktur asas yang dapat menyumbang kepada pembangunan, kemajuan serta kesejahteraan dan kesihatan penduduk,” kata Abu Zahar.

KWSMP ditubuhkan di bawah seksyen 172 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dengan berkuat kuasanya Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembetungan) 2011 mulai 1 Januari 2011. Dana KWSMP bertujuan untuk menambah baik kemudahan-kemudahan pembetungan awam. Kos pelaksanaan projek ini berjumlah RM44,097,000.00. Projek ini telah dilaksanakan selama 32 bulan dan telah siap sepenuhnya pada 13 Januari 2017. LRK Baru Ferringhi ini merupakan salah sebuah daripada hampir 7000 loji rawatan kumbahan yang diurus oleh IWK di seluruh negara.

-TAMAT-




SHARE THIS ARTICLE