Pemilik Sistem Kumbahan Persendirian Mengaku Bersalah Atas Tuduhan Gagal Menyenggara Sistem Miliknya Sehingga Menyebabkan Kacau Ganggu


Kenyataan Media / Siaran Segera
14 Februari 2017
 
PEMILIK SISTEM KUMBAHAN PERSENDIRIAN MENGAKU BERSALAH ATAS TUDUHAN GAGAL MENYENGGARA SISTEM MILIKNYA SEHINGGA MENYEBABKAN KACAU GANGGU
 
Seremban – Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan hari ini telah menjatuhkan hukuman denda terhadap Syarikat Consistent Harvest Sdn Bhd (Orang Kena Saman – OKS) sebanyak RM20,000.00 atau satu (1) bulan penjara (jika gagal membayar), kerana kesalahan gagal untuk melakukan penyelenggaraan dan penjagaan ke atas sistem kumbahan persendirian sehingga menyebabkan kacau ganggu atau berbahaya kepada kesihatan. Kesalahan tersebut dilakukan pada 17 Ogos 2009 di premis beralamat Seremban Centre Point, Jalan Dato’ Siamang Gagap, Seremban, Negeri Sembilan.
 
Hakim Mahkamah Sesyen Seremban, Tuan Ahmad Fairuz Bin Mohd Puzi menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira penghujahan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Encik Mohd Helmy Bin Razelan dan mitigasi daripada Encik Cheang Soon Siang (49 tahun) yang merupakan Pengarah Urusan di syarikat tersebut serta Cik Joanne Chan, peguam bela yang mewakili OKS, daripada Tetuan David Lai & Tan.
 
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah melakukan siasatan pada 17 Ogos 2009 setelah menerima aduan orang awam mengenai kacau ganggu bau dan persekitaran yang kotor yang disyaki berpunca daripada sebuah loji rawatan kumbahan persendirian. Hasil siasatan telah mendapati bahawa pemilik sistem kumbahan persendirian tersebut gagal untuk menjalankan penjagaan dan penyenggaraan secara berkala ke atas sistem miliknya yang terletak dalam premis beralamat Seremban Centre Point, Jalan Dato’ Siamang Gagap, Seremban, Negeri Sembilan. Ini telah mengakibatkan kacau ganggu kepada penduduk sekitarannya.
 
Pertuduhan tersebut adalah di bawah peruntukan Seksyen 66 (1) (a) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang mana pemilik yang bertanggungjawab bagi suatu sistem pembetungan persendirian yang sebegitu kotor sehingga menjadi kacau ganggu atau berbahaya kepada kesihatan, telah melakukan suatu kesalahan. Jika disabit, boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit (RM50,000.00) atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
 
Kes pendakwaan SPAN ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran awam tentang tanggungjawab pemilik, perbadanan pengurusan atau penghuni mana-mana premis yang memiliki suatu sistem pembetungan persendirian atau tangki septik untuk menjalankan penyenggaraan secara berkala bagi mencegah sebarang masalah kacau ganggu ke atas penduduk sekitar atau faktor yang menjejaskan kesihatan.
 
Sehubungan dengan itu, SPAN ingin memohon kerjasama orang awam untuk melaporkan kes-kes seperti ini kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan SPAN di talian 03 – 8317 9333 atau e-mel ke aduan@span.gov.my.
 
-TAMAT-




SHARE THIS ARTICLE