SPAN Serbu Premis Ladang Ternakan Ayam Yang Disyaki Melakukan Sambungan Bekalan Air Yang Tidak Sah


Kenyataan Media / Siaran Segera
15 Mac 2017
 
SPAN SERBU PREMIS LADANG TERNAKAN AYAM YANG DISYAKI MELAKUKAN SAMBUNGAN BEKALAN AIR YANG TIDAK SAH
 
Kuala Selangor – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dengan kerjasama daripada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (AiR Selangor), telah mengadakan satu operasi penguatkuasaan secara mengejut ke atas sebuah premis ladang ternakan ayam yang terletak di alamat Jalan Raja Abdullah, Bt. 20 Jeram, Jeram, Kuala Selangor, Selangor.
 
Dalam operasi penguatkuasaan, SPAN mendapati ladang tersebut telah melakukan satu sambungan yang disyaki tidak sah, secara tee off sebelum meter air dengan menggunakan paip jenis HDPE berukuran 32 mm. Siasatan rekod mendapati premis ini mempunyai akaun bekalan air yang sah berdaftar dengan AiR Selangor atas nama Kwan Soo @ Kuan Wah Seong. Bekalan air ini digunakan hanya untuk kegunaan rumah pekerja. Manakala, sambungan bekalan air yang dilakukan secara tidak sah adalah digunakan untuk menampung kegunaan operasi harian ladang tersebut. Ujian klorin yang dijalankan di tapak juga mengesahkan bahawa bekalan air yang disalurkan ke dalam premis tersebut merupakan air terawat. Kesalahan penyambungan bekalan air secara tidak sah ini telah dilakukan di bawah seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang mana siasatan lanjut akan dilakukan oleh pihak SPAN.
 
Di bawah peruntukan undang-undang Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), tiada seorang pun selain pemegang lesen boleh membuat apa-apa sambungan ke suatu sesalur utama awam atau paip air perkhidmatan. Jika disabitkan tertuduh, boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 123 (3) dalam Akta yang sama.
 
Operasi penguatkuasaan SPAN ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran awam tentang kesalahan kecurian air dan penyambungan tidak sah sebagai salah satu usaha bagi mencegah kegiatan tidak bertanggungjawab ini.
 
Sehubungan dengan itu, SPAN ingin memohon kerjasama orang awam untuk melaporkan kes-kes yang disyaki melakukan kecurian kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan SPAN di talian 03 – 8317 9333 atau e-mel ke aduan@span.gov.my
 
-TAMAT-




SHARE THIS ARTICLE