SPAN Serbu Tapak Pembinaan Bangunan Pangsapuri Yang Disyaki Melakukan Sambungan Bekalan Air Yang Tidak Sah


Cheras — Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) setelah menerima aduan daripada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) berhubung kes kecurian air, pada hari ini mengadakan operasi penguatkuasaan secara mengejut ke atas sebuah tapak pembinaan bangunan pangsapuri beralamat di Lot 1098, Tapak Pembinaan Jalan Rasa Sayang, 43200 Cheras, Selangor.

Dalam operasi penguatkuasaan yang dilakukan, SPAN mendapati terdapat satu (1) sambungan yang menggunakan paip jenis poli berukuran 32 mm daripada paip utama SYABAS yang berukuran 100 mm. Sambungan yang dilakukan ini menyalurkan bekalan air ke kawasan kediaman sementara pekerja-pekerja untuk kegunaan harian.

Hasil semakan ke atas sistem maklumat BASIS SYABAS, menunjukkan premis ini mempunyai dua (2) akaun bekalan air yang didaftar atas nama Binastra Ablebuild Sdn Bhd dan SK Mix Sdn Bhd. Akaun pertama masih berstatus aktif manakala akaun kedua telah ditamatkan perkhidmatannya pada 18 Januari 2016. Sambungan yang disyaki tidak sah ini dipercayai digunakan untuk menampung kegunaan aktiviti harian tapak pembinaan tersebut. Ujian klorin ditapak juga mengesahkan bekalan air yang diterima merupakan air terawat.

Kesalahan ini telah dilakukan di bawah seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang mana siasatan lanjut akan dilakukan oleh pihak SPAN. Di bawah peruntukan undang-undang Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), tiada seorang pun selain pemegang lesen boleh membuat apa-apa sambungan ke suatu sesalur utama awam atau paip air perkhidmatan. Jika disabitkan tertuduh, boleh didenda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 123(3) dalam Akta yang sama.

Operasi penguatkuasaan SPAN ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran awam tentang kesalahan kecurian air dan penyambungan tidak sah sebagai salah satu usaha bagi mencegah kegiatan tidak bertanggungjawab ini.

Sehubungan dengan itu, SPAN ingin memohon kerjasama orang awam untuk melaporkan kes-kes yang disyaki melakukan kecurian kepada Bahagian Penguatkuasaan SPAN di talian +603 – 8317 9333 atau e-mel ke aduan@span.gov.my.




SHARE THIS ARTICLE