Kenyataan Media / Siaran Segera


Date: 15 Disember 2016
_____________________


GANGGUAN BEKALAN AIR DI KAWASAN PETALING, KLANG / SHAH ALAM, GOMBAK, KUALA LANGAT, HULU SELANGOR, KUALA SELANGOR DAN KUALA LUMPUR AKIBAT KERJA SENGGARAAN TNB

Cyberjaya – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ingin memaklumkan bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menjalankan kerja-kerja senggaraan dan pemasangan sistem perlindungan arka di Pencawang Masuk Utama Bukit Badong, Hulu Selangor pada 19 Disember 2016. Kerja-kerja senggaraan ini dijadualkan setiap tiga (3) tahun bertujuan untuk mencegah sebarang kerosakan atau gangguan bekalan elektrik yang tidak terancang di loji-loji rawatan air.

Kerja-kerja henti tugas TNB ini yang akan bermula pada 8.00 pagi sehingga 12.00 malam dan mengambil masa selama 16 jam akan menjejaskan pengoperasian di loji-loji rawatan air (LRA) utama Sungai Selangor yang membekalkan air kepada 60% pengguna di Lembah Klang. Loji-loji yang terlibat adalah seperti berikut:

i. LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1);
ii. LRA SSP2; dan
iii. LRA SSP3

Pada masa ini ketiga-tiga loji tersebut membekalkan air terawat sebanyak 2,800 Juta Liter Sehari. Henti tugas sementara loji rawatan air Sungai Selangor ini akan menyebabkan gangguan bekalan air kepada lebih 707,759 akaun atau 3,892,641 pengguna di 814 buah kawasan. Kawasan-kawasan yang terlibat adalah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur. Bekalan air dijangka akan pulih secara berperingkat selepas kerja-kerja senggaraan sistem bekalan elektrik selesai dilaksanakan dan loji-loji rawatan air beroperasi semula. Pengguna adalah dinasihati untuk menyimpan air yang mencukupi bagi tempoh gangguan bekalan air sementara ini.

Pengguna-pengguna yang ingin mendapatkan maklumat lebih terperinci berhubung dengan gangguan bekalan air ini, boleh merujuk kepada laman web www.syabas.com.my.

DATO’ MOHD RIDHUAN BIN ISMAIL
Ketua Pegawai Eksekutif
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

-TAMAT-




SHARE THIS ARTICLE