Kenyataan Media / Siaran Segera

17 Oktober 2017

 

PEMAJU MENGAKU BERSALAH CURI AIR

 Pasir Mas – Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan telah menjatuhkan hukuman denda terhadap LPT Property Sdn. Bhd. (No. Syarikat: 593434-V) (Orang Kena Saman – OKS), sebanyak RM12,000.00 atau enam (6) bulan penjara (jika gagal membayar), kerana kesalahan melakukan penyambungan bekalan air yang menyalahi undang-undang pada 12 Disember 2012 di atas tapak Lot PT 634-PT 642, PT 649-PT 663 dan PT 668, Mukim Gua, Jajahan Pasir Mas, Kelantan.

Hakim Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan, Tuan Mohd Yusoff bin Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira penghujahan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Encik Shariful Azman Bin Mustapa Yahya bersama Encik Mohd Helmy bin Razelan, dan setelah mendengar hujahan mitigasi daripada peguam bela OKS, Encik Ang Kai Whei (Tetuan Yeap & Ang). OKS diwakili oleh Encik Mohd Azizi bin Abdullah (33 tahun) yang merupakan penyelia projek di syarikat tersebut.

OKS tersebut didapati bersalah kerana telah melakukan penyambungan bekalan air tanpa kebenaran ke paip air perkhidmatan dengan menggunakan tee off jenis paip poly bersaiz 25 mm di tapak premis tersebut. Sambungan tidak sah ini dibuat dengan menggunakan paip poly bersaiz 25 mm menuju ke tapak pembinaan. Terdapat juga satu kepala paip plastik yang dipasang pada hujung jajaran paip untuk mengawal penggunaan air. Sambungan tidak sah tersebut telah menyalurkan bekalan air bagi tujuan kegunaan kerja-kerja pembinaan di tapak.

Kesalahan ini adalah di bawah peruntukan Seksyen 123 (1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 di mana jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 123 (3) dengan hukuman denda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit (RM100,000.00) atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya.

Kes pendakwaan SPAN ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran awam tentang kesalahan kecurian air dan penyambungan tidak sah sebagai salah satu usaha bagi mencegah kegiatan tidak bertanggungjawab ini. Aktiviti sedemikian juga dapat membantu dalam pengurangan kadar Air Tidak Berhasil (Non-Revenue Water –NRW) akibat daripada sambungan haram.

Sehubungan dengan itu, SPAN ingin memohon kerjasama orang awam untuk melaporkan kes-kes seperti ini kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan SPAN di talian 03 – 8317 9333 atau e-mel ke aduan@span.gov.my.

- TAMAT -





SHARE THIS ARTICLE