Kenyataan Media / Siaran Segera

Date: 4 Ogos 2017
___________________________

 

SPAN TANDATANGANI IKRAR BEBAS RASUAH DAN MELANCARKAN KEMPEN 3J

 

Cyberjaya — Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah mengambil langkah pro-aktif dengan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) SPAN yang merupakan komitmen yang diberikan SPAN ke arah mewujudkan sebuah organisasi kawalselia yang berwibawa dan berintegriti.

 

Majlis upacara lafaz dan menandatangani ikrar tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Mohd Ridhuan bin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif SPAN. Majlis ini turut disaksikan oleh YB. Datuk Liang Teck Meng, Pengerusi SPAN dan YBhg. Dato’ Seri Jamidan bin Abdullah, Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 

Majlis yang telah berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya ini, melibatkan kira-kira seramai 150 pegawai SPAN yang terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurusan Kanan SPAN dan warga kerja SPAN telah menandatanagi IBR. Sijil IBR turut ditandatangi oleh semua yang terlibat bagi membuktikan komitmen terhadap ikrar yang telah dilafazkan.

 

Menurut Datuk Liang Teck Meng, IBR merupakan tindakan yang diambil selaras dengan misi SPAN iaitu untuk mengawal selia industri perkhidmatan air melalui pelaksanaan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dengan adil, berkesan dan telus.

 

Sejajar dengan sambutan ulang tahun yang ke-10 pada tahun ini. SPAN amat komited dalam memastikan agenda pemantapan integriti menjadi perhatian dan juga pegangan bagi seluruh warga SPAN. Penekanan amalan integriti dan menolak amalan rasuah serta penyalahgunaan kuasa merupakan usaha berterusan SPAN untuk menjadikan SPAN sebagai sebuah badan kawal selia yang adil, telus dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.

 

“Saya berharap kesemua warga kerja SPAN akan terus meletakkan agenda integriti sebagai keutamaan dan teras utama dalam menjalankan tugasan yang diberikan,”ujar beliau.

 

Beliau berharap agar IBR dapat menjadi benteng yang menghalang mereka daripada terjerumus ke dalam kancah rasuah yang bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi SPAN, malah turut melemahkan masyarakat dan merosakkan keharmonian negara.

 

Pada majlis yang sama, Pengerusi SPAN turut merasmikan Kempen 3J iaitu “Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle” dan Gerakan Anti Rasuah (GERAH) sebagai usaha SPAN dalam membantu dan berusaha dalam mencegah budaya rasuah dalam industri yang dikawal selianya.

 

SPAN akan menerapkan kempen 3J ke dalam aktiviti-aktiviti kawal selianya seperti penguatkuasaan, perlesenan, permit dan perakuan. SPAN juga percaya bahawa usaha membudayakan integriti perlulah bermula dari peringkat pendidikan awal khususnya kanak-kanak. Oleh yang demikian, Waterbot yang merupakan maskot rasmi SPAN dilantik sebagai ikon 3J SPAN dalam membudayakan amalan integriti.

 

Bertemakan “Gerakan Anti Rasuah Ke Arah Melestarikan Perkhidmatan Air”, agenda pemantapan integriti ini tidak hanya akan menumpukan perhatian kepada amalan rasuag pada peringkat tertentu sahaja, namun ia akan diserapkan di seluruh industri perkhidmatan air Malaysia.

 

-TAMAT-





SHARE THIS ARTICLE